'Serangan' AS kerana kalah bida Piala Dunia - bekas pegawai FIFA
LOS ANGELES: Bekas Naib Presiden FIFA, Jack Warner membidas Amerika Syarikat (AS) apabila berkata tuduhan terhadapnya serta beberapa lagi pegawai tertinggi badan induk itu berlandaskan keinginan tinggi AS untuk menganjurkan Piala Dunia.
"Semua perkara ini berpunca daripada kekalahan bidaan untuk menjadi penganjur Piala Dunia 2022," kata Warner yang juga salah seorang daripada sembilan pegawai tertinggi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah oleh pihak berkuasa Switzerland dan AS.
"Mereka tewas kepada Qatar, negara yang kecil, negara Muslim.... Tiada negara di dunia ini mempunyai hak mutlak untuk menganjurkan Piala Dunia," katanya.
Serangan Warner terhadap AS hadir menerusi video dalam laman web Facebook yang dipetik daripada satu artikel menerusi laman web satira, The Onion.
Dalam video terbabit, dia dilihat memegang salinan cetak daripada tajuk utama The Onion yang berkata "FIFA secara drastik mengumumkan Piala Dunia musim panas 2015 di AS."
Berita mengenai sindiran itu diterbitkan pada Rabu oleh The Onion.
Warner, 72 menyerah diri kepada polis di Trinidad & Tobago, Rabu lalu namun kekal dengan pendirian tidak bersalah sepanjang minggu.
Dia kemudian dibebaskan selepas membayar wang jaminan AS$400,000 (RM1.467 juta).
Selain bekas Naib Presiden FIFA, Warner adalah Presiden Persekutuan Bola Sepak Amerika Tengah, Utara dan Caribbean (CONCACAF), selain Presiden Kesatuan Bola Sepak Caribbean.
Dalam pada itu, Warner turut mempersoalkan mengapa isu itu timbul "dua hari sebelum pemilihan FIFA" yang menyaksikan Sepp Blatter dilantik semula selaku Presiden.
"Jika saya amat jahat dan FIFA amat buruk, bagaimana ketua kepada FIFA tidak?," katanya mengulas kejayaan Blatter mengekalkan jawatannya buat penggal kelima.
Blatter yang sudah mengemudi FIFA sejak 1998 tidak dikenakan sebarang tuduhan dalam kes terbabit.
Piala Dunia 2018 akan dianjurkan di Russia diikuti Qatar pada 2022. - AFP
No comments: