Nazmi mungkin dihantar pulang - Kim Swee
SINGAPURA: Pemain tengah skuad bawah 23 tahun negara, Mohd Nazmi Faiz Mansor berdepan kemungkinan disingkirkan daripada skuad Sukan SEA 2015.
Nazmi, 20, diarah keluar padang oleh pengadil selepas menerima kad merah kerana dikatakan meludah pemain lawan ketika perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang Timor-Leste.
"Adalah sesuatu yang memalukan untuk melakukan kesalahan seperti itu dan saya sudah memberitahunya saya belum selesai dengannya lagi," kata Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang dipetik akhbar hari ini.
"Kami perlu menunggu jawatankuasa disiplin untuk memutuskan hukuman yang dikenakan kepadanya dalam tempoh satu atau dua hari lagi sebelum saya memutuskan hukuman selanjutnya.
"Saya sudah memberitahunya yang saya boleh menghantarnya pulang atau mendendanya... Saya memberitahunya untuk bersedia."
Kesalahan menyaksikan Nazmi terlepas dua perlawanan Malaysia selepas ini menentang Vietnam, esok dan Thailand (Khamis).
Nazmi diarah keluar padang ketika permainan memasuki minit ke-32 dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Bishan.
Malaysia begitupun menang perlawanan terbabit dengan keputusan 1-0.
Nazmi, 20 yang menjadi tonggak tengah skuad kebangsaan berkata dia tidak berniat untuk meludah pemain Timor-Leste, Filipe Oliveira.
"Jika saya mahu meludah pemain itu, saya boleh melakukannya di bahagian muka. Ia sesuatu yang saya tidak lakukan kerana ia bukan niat saya.
"Insiden ini akan menjadi pengajaran kepada saya dan saya berharap untuk menjadi pemain yang lebih baik selepas ini. Saya juga berhutang kepada rakan sepasukan lain dan memohon maaf kerana mereka terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain. - Reuters
No comments: