Pesawat Gorma Air mendarat cemas di barat Nepal

KATHMANDU: Sebuah pesawat Twin Otter bersama 18 penumpang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Pokhara, kira-kira 200 kilometer di barat Kathmandu hari ini apabila roda hadapannya gagal berfungsi.
Ketika kejadian, pesawat 9N AKY milik Gorma Air, sebuah syarikat penerbangan baharu Nepal, dalam penerbangan ke Pokhara dari daerah Jomsom berhampiran sempadan dengan Tibet.
"Pesawat yang berlepas dari Jomsom itu mengalami nahas di landasan ketika melakukan pendaratan dan menyebabkan beberapa penumpang cedera," kata Dipak Baral, Pengurus Lapangan Terbang Pokhara kepada BERNAMA melalui telefon.
Baral berkata, penerbangan dari dan ke Lapangan Terbang Pokhara digantung sementara bagi memudahkan kerja mengalihkan pesawat itu dari landasan.
Lapangan Terbang Pokhara adalah lapangan kedua paling sibuk di Nepal.
Diban Raj, inspektor polis di Pokhara, berkata pesawat berkenaan mengalami kerosakan kecil kerana melakukan pendaratan dalam keadaan roda hadapannya tidak dapat dikeluarkan.
Sebuah pasukan ditubuhkan bagi menyiasat punca kejadian itu.
- BERNAMA

No comments: