AirAsia X kembangkan rangkaian pengedaran di Australia

KUALA LUMPUR: AirAsia X, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh dalam kumpulan AirAsia Bhd memeterai perjanjian dengan Flight Centre Travel Group (FLT) bagi mengukuhkan rangkaian pengedarannya di Australia.
Perjanjian itu adalah yang pertama dimeterainya di Australia dan akan menyaksikan FLT dan AirAsia Group bekerjasama secara proaktif untuk mempromosikan tambang syarikat penerbangan itu, mewujudkan tawaran baru dan unik untuk pelanggan serta mengembangkan pasaran pelancongan luar.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail, berkata AirAsia X melihat peluang pertumbuhan mantap di Australia dan sedang fokus untuk mengukuhkan kelebihan kekuatan rangkaiannya di seluruh Asia yang merangkumi lebih 100 destinasi termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, China, Jepun, Korea Selatan dan India.
"Kepelbagaian jenama ini penting kerana model tradisi syarikat penerbangan tambang rendah (LCC) sedang berkembang dan meraih populariti dalam kalangan pangkalan data pelanggan yang meluas.
"Walaupun pelancong yang mementingkan bajet sering cenderung memilih LCC, kami juga menyaksikan peningkatan minat pelancong daripada latar belakang lain, termasuk mereka yang inginkan penjimatan melalui tiket penerbangan dalam percutian mereka dan berbelanja lebih untuk penginapan," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Pengasas Bersama Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun, berkata model tambang rendah AirAsia dan AirAsia X telah menyediakan akses terus kepada ramai pelancong kali pertama untuk menikmati perjalanan ke luar negara.

No comments: