Karangan Teknologi Makumat
Karangan Teknologi Makumat
Perkongsian kali ini melibatkan karangan yang iaitu Karangan Teknologi Makumat
Contoh Karangan Teknologi Makumat
Soalan : Kerajaan menjalankan pelbagai langkah bagi memajukan negara kita dari segi teknologi maklumat dan komunikasi. Satu kempen kesedaran tentang implikasi teknologi maklumat telah diadakan di tempat anda. Selaku seorang pengamal teknologi maklumat, anda diminta memberikan ceramah dalam majlis pelancaran kempen tersebut. Tuliskan teks ceramah itu.
Assalammualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pegawai-pegawai persatuan belia, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pada era ‘dotcom’ ini, banyak negara di dunia yang berlumba-lumba untuk memajukan bidang multi media (pelbagai media) mereka. Dalam hal ini Malaysia, sebagai harimau Asia tidak ketinggalan. Kerajaan sedang berusaha membangunkan Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multi-media Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Projek ini ternyata meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan kepada rakyat Malaysia sama ada implikasi yang positif atau negatif. Kesan-kesan MSC dapat dilihat dari aspek pendidikan, ekonomi, industri, sosial dan politik.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,
Kehadiran teknologi multi media adalah anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi multi media. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di suratkhabar baru-baru ini menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Inilah kelebihan teknologi multi media dalam bidang pendidikan.
Hadirin yang budiman,
Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan multi media ini. Dunia hari ini heboh tentang ‘e-niaga’ atau ‘e-commerce,’ cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman web mereka beserta alamat mel elektronik (e-mail atau sedang diguna dalam bahasa Melayu sebagai emel!). Kini ‘www.sesuatu.com.my’ bukan lagi satu perkara yang baru. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang surirumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel! Justeru, jelas bahawa perkembangan multi media membawa kesan positif daripada aspek perniagaan.
Hadirin yang dimuliakan,
Di samping itu, kemajuan multi media juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan multi media secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya emel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan multi media. Malah ketika melawat MSC, Bill Gates (Microsoft Corporation), insan terkaya di dunia, memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multi medianya. Beliau menambah, di luar Amerika Syarikat pembangunan seumpama ini (seperti di Malaysia) sukar didapati. Jadi terbukti bahawa pembangunan multi media membolehkan Malaysia “berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah” dengan negara-negara maju yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Dari segi sosialnya pula, pembangunan multi media mengeratkan lagi hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk di kalangan rakyat pelbagai negara dan berbagai-bagai kaum. Bukankah multi media satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?
Hadirin sekalian,
Walau bagaimanapun, pembangunan pesat multi media tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek yang negatif. Malah di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Saya yakin kita masih ingat khabar angin bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet. Selain itu, kempen memburuk-burukkan pemimpin kerajaan dan kerajaan sendiri memang terus-menerus berlaku. Inilah aspek negatif internet yang sukar dibendung oleh sesiapa.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Internet juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya di kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi yang lain mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang dahagakan pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini juga mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat di kalangan pelajar-pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan lagi keadaan. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif di kalangan remaja dan belia. Dari sini juga lah aktiviti-aktiviti negatif yang lain seperti merokok, menagih dadah, gengsterisme dan vandalisme mula bertapak di sanubari anak-anak.
Hadirin yang dikasihi,
Selain itu, jika perkembangan multi media tidak dikawal implikasi yang lebih buruk boleh melanda sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, sebarang isu perkauman dan agama yang disebarkan dengan niat yang jahat pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Anasir-anasir yang jahat boleh menyalurkan isu-isu sensitif tentang hak dan kepercayaan masyarakat pelbagai kaum bagi menwujudkan huru-hara di dalam negara. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Oleh itu, kesan negatif multi media yang boleh mengheret rakyat ke kancah perang sivil dan kaum wajiblah dielakkan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Jelaslah bahawa teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Menjadi tugas kitalah bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh.
Sekian, terima kasih.
Karangan dalam format word di bawah
KARANGAN 13 – CERAMAH TEKNOLOGI MAKLUMAT
Untuk pelbagai info boleh follow telegram dan web di bawah. Sumber bahan di atas daripada carian google, scribd dan telegram. Setiap modul dan bahan di atas sudah terdapat sumber rujukan.
- Berminat belajar trading saham percuma? pendapatan 3-5 angka sebulan? Layari entrybiru.com
- Sedang mencari tawaran kerja kosong kerajaan, GLC atau swasta? Layari travula.com.my
- Bagi yang mahu mendapatkan info tambahan, rujuk pada telegram di https://t.me/kerjakosongbiasiswa
- Untuk lebih kefahaman berkenaan dengan pelaburan saham dan belajar saham secara free boleh join dan like fb dan Telegram – https://t.me/ilmusahamkriptofree.
- Follow kami di Facebook di https://www.facebook.com/SumberPendidikanGuru dan Follow kami di telegram untuk pelbagai info dan maklumat terkini serta bahan -> https://telegram.me/sumberpendidikan
Semoga kita semua dimurahkan rezeki dan dipermudahkan dalam urusan permohonan sama ada pelaburan, permohonan kerja, biasiswa ataupun sambung belajar.
The post Karangan Teknologi Makumat appeared first on Sumber Pendidikan.
Koleksi bahan-bahan pendidikan untuk warga guru, ibu-bapa dan murid pautan download percuma dan bestari.
Karangan Teknologi Makumat
Karangan Teknologi Makumat merupakan artikel ulangsiar. Untuk maklumat lanjut atau informasi sepenuhnya sila klik pautan sumber.Link Karangan Teknologi Makumat atau pautan download media atau bahan bantu mengajar yang berbentuk softcopy seperti gambar, video, soalan, pekeliling, bahan bantu mengajar dan media lainnya di blog sksungaitong ini adalah ulangsiar dari beberapa laman blog dan website pendidikan di Malaysia. Halaman tersebut berkongsi bahan percuma dan tidak berasaskan keuntungan.
No comments: